July 08, 2012

Jangan Takut Pada Manusia-Lebih Dekat Dengan ALLAH.

Nabi S.A.W. bersabda: " Sesungguhnya orang yang paling bertakwa dan paling tahu tentang Allah di antara kamu, ialah aku (Rasulullah S.A.W)".

* Rasulullah yang paling takut dengan ALLAH.
* Rasulullah yang paling dekat dengan ALLAH.
* Rasulullah yang paling bertakwa dengan ALLAH.
 Tiada siapa yang boleh fight ketakutan dan ketakwaan Rasulullah. Oleh itu jangan kita membuat sesuatu yang lebih daripada Rasulullah.

Ibnu Mardawih dengan sanadnya daripada Bilal Bin Rabah r.a. berkata:
" Sebelum sembahyang subuh saya pernah memanggil Rasulullah S.A.W. untuk melaksanakan sembahyang. Tiba-tiba Rasulullah menangis. Maka Bilal bertanya. " Ya, Rasulullah apakah gerangan yang membuatkan engkau menangis? Maka Nabi S.A.W. menjawab: "Wahai Bilal, telah di turunkan kepada saya beberapa ayat dari Allah. Celakalah orang yang membacanya, tetapi tidak merenungkannya. Iaitu firman Allah didalam surah Al-Imran ayat 190 hingga ayat 191.
(sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal).
(Iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi. "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka".

Surah di atas menceritakan tentang kekuasaan Allah. Sesungguhnya pada segala penciptaan langit dan bumi, perselisihan malam dan siang adalah tanda-tanda orang yang berakal. Berakal maksudnya yang mengkaji. Orang yang tidak ada akal bukan tengok sesuatu benda itu dengan ilmu. Contohnya, bila berlaku hujan panas dia kata ni mesti ada orang nak mati ni.

Apa itu Takwa?
Saidina Umar bertanya kepada seorang sahabat nabi berkenaan dengan takwa. Sahabat nabi menjawab. " Pernahkah kamu melalui satu jalan yang licin yang penuh dengan duri"? Lalu Saidina Umar menjawab. " Ya. Saya pernah melaluinya". Lantas, ketika kamu melalui jalan yang licin itu yang penuh dengan duri apa yang kamu buat? Kata Umar, saya berhati-hati memijaknya supaya saya tidak jatuh dan supaya saya tidak memijak duri. Kata sahabat nabi tadi, "itulah yang dimaksudkan dengan takwa". Berhati-hati ketika melangkah, bercakap, melihat, mendengar dan membuat apa jua tindakan.

Ada segelintir dari kalangan kita apa yang dia dengar terus dia cakap kat orang lain. Itu bukan takwa namanya. Bila dengar sumber itu, dia mesti tanya kamu dapat fakta tu dari mana? Sekadar mendengar itu bukan takwa. Bila orang mempertikaikan apa yang dia cakap, dia kata saya tak tahu ni orang yang cakap pada saya. Dia juga tidak bertanggungjawab dengan apa yang dia cakap.
Ulama-ulama berkata, tidaklah orang itu di kira baik apa yang dia dengar dia percaya, apa yang dia dengar dia sampaikan pada orang lain. Orang itu bukan orang baik. Bukan semua benda yang kita tahu kita kena cakap pada orang. Bukan semua benda yang kita lihat, kita kena cakap pada orang.
Ada yang kita boleh cakap, ada benda yang kita kena simpan. Ada benda yang kita boleh bagi tahu, ada benda yang kita kena sorok. Ini dipanggil takwa di dalam kata-kata.

Jangan hanya menjadi orang baik ketika ramai orang. Bila duduk seorang diri jahat. Begitu juga dengan lidah kita, tangan dan yang sewaktu dengannya jangan buat benda yang tidak sepatutnya. Sebab itu orang yang bertakwa, langkahnya, bercakapnya berhati-hati. Jangan sampai melanggar perintah Allah S.W.T..Maka apabila kita buat, maka Allah akan pelihara kita dari api neraka.
Diriwayatkan daripada Imam Ahli Sunah Wal Jamaah: Imam Ahmad bin Hambal; Apabila dia duduk bersendirian diatas singgahsananya dia akan duduk dengan penuh kekhusyukan dan ketenangan. Tetapi apabila dia berada di tengah-tengah manusia, kekhusyukannya itu tidak nampak pada dirinya.Dia pernah ditanya mengapa dia sedemikian. Katanya, "sesungguhnya, bersama saya ada orang yang Maha pengawas yang sentiasa memerhati saya ketika duduk bersendirian.
Imam Ahmad bin Hambal bila solat ramai-ramai, dia solat biasa sahaja. Tetapi bila dia duduk berseorangan dia solat sorang-sorang lagi dia buat lebih elok dan sungguh-sungguh. Orang tanya kepadanya. "Tuan bila tuan datang ke masjid kami tengok tuan solat biasa saja. Tak lah panjang, duduk tak lah lama sangat solatnya. Kenapa balik ke rumah, kami tengok tuan lebihkan pula. Kata imam Hambali,"sebab bila aku duduk ramai-ramai Allah tengok aku dalam keadaan ramai-ramai. Tetapi apabila aku solat sorang-sorang, Allah hanya tengok aku seorang. Lagi aku kena jaga elok-elok depan Tuhan. Sebab sekarang Allah hanya tengok aku seorang sahaja".
Kita pula lain, bila datang masjid pakai lawa-lawa sebab orang ramai. Duduk elok-elok sebab orang ramai. Tapi bila balik rumah, solat pun tak pakai lawa-lawa, tak pakai wangi-wangi. Sebab kita duduk seorang siapa yang nampak, aku seorang saja katanya. Orang yang bertakwa duduk seorangan lagi dia jaga di hadapan Allah, sebab Allah hanya perhatikan kita seorang.

Hadis kudsi:
"Sesiapa yang ingat kepada Aku berseorangan maka Aku akan ingat kepadanya. Tetapi sesiapa yang sebut nama Aku dalam jumlah yang ramai, namanya juga Allah akan sebut kepada kelompok para malaikat yang lebih ramai daripada kita".

Nabi S.A.W. sebut tiga (3) benda iaitu:
1. Orang yang paling jihad, ialah orang yang menjaga amalan fardu yang telah difardukan oleh Allah kepadanya.
2. Orang yang paling berhijrah ialah orang yang meninggalkan perbuatan maksiat dengan sungguh-sungguh.
3. Orang yang paling Allah suka berjumpa pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berzikir kepadaNYA.

Takut hanya pada ALLAH. Buat apa nak takut pada manusia? Manusia akan mati. Cakaplah yang benar. Kalau kita cakap yang benar, Allah yang akan tolong kita. Itu prinsip yang kita kena ada ye :)
Tapi teguran itu perlulah yang betul yang memang ada pada orang tu. Cakaplah yang benar walaupun pahit untuk orang lain mendengarnya. Manusia adalah sama sahaja, yang membezakannya hanya ketakwaan takut pada Allah. Sikit pun haram, banyak pun haram. Itu orang bertakwa.

Surah Al-Bayyinah ayat lima (5):
"Padahal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas mentaatiNYA semata-mata kerana agama, dan juga agar melaksanakan solat, menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus".

1. Bersih daripada pengaruh riak iaitu suka dilihat orang apa yang dibuatnya.
2. Bersihkan ibadat kita dari sum'ah iaitu ingin didengar oleh orang lain.
3. Niat yang lain iaitu bukan kerana ALLAH.

Bila kita dapat nikmat dari Allah ucapkanlah "Masha Allah, La Haulala Wallah Ku Wataillah billah".
Bercakaplah benda yang lebih kita tahu maka itu lebih dekat dengan takwa. Kita mengharapkan hasil tetapi kita berbuat jahat dengan orang lain. Berbaiklah dengan orang walaupun orang tak ambil kita, Allah akan ambil kita. Itulah namanya IKHLAS.
Allah sebaik-baik pembela. Salah kata salah. Betul kata betul. Jangan kita menafi dan menidakkan atau mereka-reka yang salah kita kata betul, yang betul kita kata salah. Jangan bagi jawapan berdasarkan sentimen kita. Tetapi bagilah jawapan yang bersandar dengan Quran dan Hadis. Bukan dengan jawapan apa yang kita suka.

Orang yang ikhlas akan dapat tiga (3) benda:
1. Dia membawa kepada jalan yang benar dan lurus.
2. Makmur hidupnya dan rezekinya melimpah ruah.
3. Terbuka pintu kepadanya iaitu Allah akan memudahkan segala urusannya.

Jadi nak dapatkan tiga benda yang kat atas tu kenalah ikhlas-ikhlaskan diri kita. InsyaALLAH, bantuan Allah akan sampai dengan jalan yang kita tidak duga dan sangka-sangkakan.
Akhir kata, saya mohon maaf jika ada terkasar bahasa dan jika penulisan di atas ada salah silapnya mohon ye sahabat-sahabat perbetulkan. :D

No comments:

Post a Comment