December 12, 2012

Kadang-kadang

Kadang-kadang impian kita terlalu besar dan lagi besar daripada kemampuan kita.

Kadang-kadang pilihan terlalu banyak sehinggakan kita tidak dapat memilih di mana yang terbaik.

Kadang-kadang kita terpaksa akur dengan pilihan yang kita buat selain daripada keputusan kita.

Kadang-kadang apa yang kita harapkan selalu datang tidak tepat pada masanya.

Kadang-kadang bila kita pilih yang lain, lain pula jadinya.

Kadang-kadang, dan kadang-kadang...Apa ertinya hidup jika dipenuhi dengan kadang-kadang?
Oleh itu hapuskanlah kadang-kadang dengan satu perkataan yang dapat menguatkan hujah kita.

Gantikan kadang-kadang dengan kalimah-kalimah yang bererti. Jangan berputus asa biarpun banyak kali terjatuh!!!

November 12, 2012

Ada Apa Dengan Purdah?

"Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min: "Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Surah al-Ahzab ayat 59)

Diriwayatkan bahawa Ibnu Abbas radhiallahu 'anhu berkata,
"Allah memerintahkan kepada isteri-isteri kaum mukminin, jika mereka keluar rumah kerana suatu keperluan, hendaklah mereka menutupi wajah mereka dengan jilbab daripada kepala mereka. Mereka dapat menampakkan satu mata saja."
(Syaikh Mushthafa Al-Adawi menyatakan bahawa perawi riwayat ini dari Ibnu Abbas adalah Ali bin Abi Thalhah yang tidak mendengar dari ibnu Abbas. Lihat Jami' Ahkamin Nisa IV/513)
Manakalah Qatadah berkata tentang firman Allah ini (QS. Al Ahzab: 59),

"Allah memerintahkan para wanita, jika mereka keluar (rumah) agar menutupi alis mereka, sehingga mereka mudah dikenali dan tidak diganggu."
(Riwayat Ibnu Jarir, dihasankan oleh Syaikh Mushthafa Al-Adawi di dalam Jami' Ahkamin Nisa IV/514)

Kemudian diriwayatkan Ibnu Abbas radhiallahu 'anhu berkata,
"Wanita itu menghulurkan jilbabnya ke wajahnya, tetapi tidak menutupinya."
(juga Riwayat Abu Dawud, Syaikh Mushthafa Al-Adawi menyatakan: Hasan Shahih. Lihat Jami' Ahkamin Nisa IV/514)

Abu 'Ubaidah As-Salmani dan lainnya mempraktikkan cara menghulurkan jilbab itu dengan selendangnya, iaitu menjadikannya sebagai kerudung, lalu dia menutupi hidung dan matanya sebelah kiri, dan menampakkan matanya sebelah kanan. Lalu dia menghulurkan selendangnya dari atas (kepala) sehingga dekat ke alisnya, atau di atas alis. (Riwayat Ibnu Jarir, dishahihkan oleh Syaikh Mushthafa Al-Adawi di dalam Jami' Ahkamin Nisa IV/513)
As-Suyuthi berkata,
"Ayat hijab ini berlaku bagi seluruh wanita, di dalam ayat ini terdapat dalil kewajipan menutup kepala dan wajah bagi wanita."
(Lihat Hirasah Al-Fadhilah, hal 51, karya Syaikh Bakar bin Abu Zaid, penerbit Darul 'Ashimah)

Perintah menghulurkan jilbab ini meliputi menutup wajah berdasarkan beberapa dalil:

1. Makna jilbab itu sendiri di dalam bahasa Arab adalah: Pakaian yang luas yang menutupi seluruh badan. Sehingga seorang wanita wajib memakai jilbab itu pada pakaian luarnya daripada hujung kepalanya turun sampai menutupi wajahnya, segala perhiasannya dan seluruh badannya sampai menutupi kedua hujung kakinya.

2. Yang biasa nampak pada sebahagian wanita jahiliah adalah wajah mereka, lalu Allah perintahkan isteri-isteri dan anak-anak perempuan Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam serta isteri-isteri orang mukmin untuk menghulurkan jilbabnya ke tubuh mereka. Kata idna' (pada ayat tersebut يُدْنِينَ -ed) yang ditambahkan huruf (عَلَي) mengandungi makna menghulurkan dari atas. Maka jilbab itu diulurkan dari atas kepala menutupi wajah dan badan.

3. Menutupi wajah, baju, dan perhiasan dengan jilbab itulah yang difahami oleh wanita-wanita sahabat.

4. Dalam firman Allah: "Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu", merupakan dalil kewajipan hijab dan menutup wajah bagi isteri-isteri Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam, tidak ada perselisihan dalam hal ini di antara kaum muslimin. Sedangkan dalam ayat ini isteri-isteri Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam disebutkan bersama-sama dengan anak-anak perempuan beliau serta isteri-isteri orang mukmin. Ini bererti hukumnya mengenai seluruh wanita mukmin.

5. Dalam firman Allah: "Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu." Menutup wajah wanita merupakan tanda wanita baik-baik, dengan demikian tidak akan diganggu. Demikian juga jika wanita menutupi wajahnya, maka lelaki yang rakus tidak akan berkeinginan untuk membuka anggota tubuhnya yang lain. Maka membuka wajah bagi wanita merupakan sasaran gangguan dari lelaki nakal/jahat. Maka dengan menutupi wajahnya, seorang wanita tidak akan memikat dan menggoda lelaki sehingga dia tidak akan diganggu.
(Lihat Hirasah Al-Fadhilah, hal 52-56, karya Syaikh Bakar bin Abu Zaid, penerbit Darul 'Ashimah).

Setelah niat diperbaharui perlu ada beberapa lagi ciri yang perlu anda penuhi bagi mencapai tingkat sebenar sebagai seorang pemakai purdah, antaranya :
1. Santun dan tegas dalam berbicara.

2. Tidak melirikkan mata dalam apa jua keadaan.

3. Jangan tabarruj dalam menghiasi mata.

4. Merasakan diri masih banyak kekurangan.

5. Menghindar body language.

6. Lebih ramah sesama wanita lain bukannya lebih berani nak ramah mesra kat lelaki

7. Hindar sifat merasa diri mulia.

8. Menggelak dari menutur kalam lagha / berjidal.

9. Mengorbankan diri dalam dakwah dengan lebih konsisten.

10. Berakhlak dengan akhlak sebenar seorang muslimah.

Seandainya diri mu sudah berpurdah, jangan hanya berpurdah pada luaran sahaja tetapi purdahlah juga hati mu,sikap mu.Jangan jadikan purdah itu satu tiket kepada mu untuk lebih aktif dalam menyembunyikan perangai buruk mu.



July 10, 2012

Uwais Al-Qarni, Menjadi Sebutan Penduduk Langit

Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, ada seorang pemuda bermata biru, rambutnya merah, pundaknya lapang panjang, berpenampilan cukup tampan.
Kulitnya kemerah-merahan. Dagunya menempel di dada kerana selalu melihat pada tempat sujudnya. Tangan kanannya menumpang pada tangan kirinya.
Ahli membaca al-Quran dan selalu menangis, pakaiannya hanya dua helai dan sudah kusut yang satu untuk penutup badan dan yang satunya digunakannya sebagai selendang. Tiada orang yang menghiraukan, tidak terkenal dalam kalangan manusia,namun sangat terkenal di antara penduduk langit.
Tatkala datangnya hari Kiamat, dan tatkala semua ahli ibadah diseru untuk memasuki Syurga, dia justeru dipanggil agar berhenti dahulu seketika dan disuruh memberi syafa'atnya.
Ternyata Allah memberi izin padanya untuk memberi syafa'at bagi sejumlah bilangan qabilah Robi'ah dan qabilah Mudhor, semua dimasukkan ke Syurga dan tiada seorang pun ketinggalan dengan izin-Nya.
Dia adalah 'Uwais al-Qarni' siapalah dia pada mata manusia...
Tidak banyak yang mengenalnya, apatah lagi mengambil tahu akan hidupnya. Banyak suara-suara yang mentertawakan dirinya, mengolok-olok dan mempermainkan hatinya.
Tidak kurang juga yang menuduhnya sebagai seorang yang membujuk, seorang pencuri serta berbagai macam umpatan demi umpatan, celaan demi celaan daripada manusia.
Suatu ketika, seorang fuqoha' negeri Kuffah, datang dan ingin duduk bersamanya. Orang itu memberinya dua helai pakaian sebagai hadiah. Namun, hadiah pakaian tadi tidak diterima lalu dikembalikan semula kepadanya. Uwais berkata:
"Aku khuatir, nanti orang akan menuduh aku, dari mana aku mendapatkan pakaian itu? Kalau tidak daripada membujuk pasti daripada mencuri."
Uwais telah lama menjadi yatim. Beliau tidak mempunyai sanak saudara, kecuali hanya ibunya yang telah tua renta dan lumpuh tubuh badannya. Hanya penglihatan kabur yang masih tersisa.
Bagi menampung kehidupannya sehari-hari, Uwais bekerja sebagai pengembala kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup-cukup untuk menampung keperluan hariannya bersama ibunya. Apabila ada wang berlebihan, Uwais menggunakannya bagi membantu tetangganya yang hidup miskin dan serba kekurangan.
Kesibukannya sebagai pengembala dan merawat ibunya yang lumpuh dan buta, tidak mempengaruhi kegigihan ibadahnya. Dia tetap melakukan puasa di siang hari dan bermunajat di malam harinya.
Uwais al-Qarni telah memeluk Islam ketika seruan Nabi Muhammad S.A.W tiba ke negeri Yaman. Seruan Rasulullah telah mengetuk pintu hati mereka untuk menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu bagi-Nya.
Islam mendidik setiap pemeluknya agar berakhlak luhur. Peraturan-peraturan yang terdapat di dalamnya menarik hati Uwais. Apabila seruan Islam datang di negeri Yaman, ia segera memeluknya, kerana selama ini hati Uwais selalu merindukan datangnya kebenaran.
Banyak tetangganya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mendengarkan ajaran Nabi Muhammad S.A.W secara langsung. Sekembalinya di Yaman, mereka memperbaharui rumah tangga mereka dengan cara kehidupan Islam.
Alangkah sedihnya hati Uwais apabila melihat setiap tetangganya yang baru datang dari Madinah. Mereka itu telah bertamu dan bertemu dengan kekasih Allah penghulu para Nabi, sedang dia sendiri belum berkesempatan.
Kecintaannya kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan yang kuat untuk bertemu dengan sang kekasih. Namun apakan daya, dia tidak punya bekal yang cukup untuk ke Madinah. Lebih dia beratkan adalah ibunya yang sedang sakit dan perlu dirawat. Siapa yang akan merawat ibunya sepanjang ketiadaannya nanti?
Diceritakan ketika terjadi perang Uhud Rasulullah S.A.W mendapat cedera dan giginya patah kerana dilempari batu oleh musuh-musuhnya. Khabar ini sampai ke pengetahuan Uwais.
Dia segera memukul giginya dengan batu hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada Rasulullah, sekalipun ia belum pernah melihatnya.
Hari berganti dan musim berlalu, dan kerinduan yang tidak terbendung dan hasrat untuk bertemu tidak dapat dipendam lagi. Uwais merenungkan diri dan bertanya dalam hati, "Bilakah ia dapat menziarahi Nabinya dan memandang wajah beliau dengan dekat?"
Bukankah dia mempunyai ibu yang sangat memerlukan perhatian daripadanya dan tidak sanggup meninggalkan ibunya sendiri. Hatinya selalu gelisah siang dan malam menahan kerinduan untuk berjumpa Rasulullah.
Akhirnya, pada suatu hari Uwais mendekati ibunya. Dia meluahkan isi hatinya dan memohon izin kepada ibunya agar diperkenankan untuk pergi menziarahi Nabi S.A.W di Madinah.
Sang ibu, walaupun telah uzur, merasa terharu ketika mendengar permohonan anaknya. Beliau amat faham hati nurani anaknya, Uwais dan berkata,
"Pergilah wahai anakku! Temuilah Nabi di rumahnya. Apabila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang."
Dengan rasa gembira dia berkemas untuk berangkat. Dia tidak lupa untuk menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada tetangganya agar dapat menemani ibunya selama mana dia pergi.
Sesudah siap segala persediaan, Uwais mencium sang ibu. Maka berangkatlah Uwais menuju Madinah yang berjarak lebih kurang empat ratus kilometer dari Yaman.
Medan yang begitu panas dilaluinya. Dia tidak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam, gurun pasir yang luas yang dapat menyesatkan dan begitu panas di siang hari, serta begitu dingin di malam hari. Semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya paras baginda Nabi S.A.W yang selama ini dirinduinya.
Tibalah Uwais al-Qarni di kota Madinah. Segera ia menuju ke rumah Nabi S.A.W, diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Keluarlah sayyidatina 'Aisyah R.A sambil menjawab salam Uwais.
Segera sahaja Uwais menanyakan Nabi yang ingin dijumpainya. Namun ternyata baginda tidak berada di rumah melainkan berada di medan perang. Betapa kecewa hati sang perindu, dari jauh ingin berjumpa tetapi yang dirindukannya tidak berada di rumah. Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu kedatangan Nabi S.A.W dari medan perang.
Bilakah beliau pulang? Sedangkan masih terngiang di telinga pesan ibunya yang sudah tua dan sakit-sakitan itu, agar ia cepat pulang ke Yaman.
"Engkau harus lekas pulang."
Atas ketaatan kepada ibunya, pesan ibunya tersebut telah mengalahkan suara hati dan kemahuannya untuk menunggu dan berjumpa dengan Nabi S.A.W.
Dia akhirnya dengan terpaksa memohon untuk pulang semula kepada sayyidatina 'Aisyah R.A ke negerinya. Dia hanya menitipkan salamnya untuk Nabi S.A.W dan melangkah pulang dengan hati yang pilu.
Sepulangnya dari medan perang, Nabi S.A.W langsung menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Nabi Muhammad S.A.W menjelaskan bahawa Uwais al-Qarni adalah anak yang taat kepada ibunya. Ia adalah penghuni langit dan sangat terkenal di langit.
Mendengar perkataan baginda Rasulullah S.A.W, sayyidatina 'Aisyah R.A dan para sahabatnya terpegun.
Menurut sayyidatina 'Aisyah R.A memang benar ada yang mencari Nabi S.A.W dan segera pulang kembali ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan sakit-sakitan sehingga ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.
Rasulullah S.A.W bersabda: "Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya."
Sesudah itu Rasulullah S.A.W, memandang kepada sayyidina Ali K.W dan sayyidina Umar R.A dan bersabda:
"Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi."
Tahun terus berjalan, dan tidak lama kemudian Nabi S.A.W wafat, hinggalah sampai waktu khalifah Sayyidina Abu Bakar as-Shiddiq R.A telah digantikan dengan Khalifah Umar R.A.
Suatu ketika, khalifah Umar teringat akan sabda Nabi S.A.W tentang Uwais al-Qarni, sang penghuni langit. Beliau segera mengingatkan kepada sayyidina Ali K.W untuk mencarinya bersama.
Sejak itu, setiap ada kafilah yang datang dari Yaman, mereka berdua selalu bertanya tentang Uwais al-Qarni, apakah ia turut bersama mereka. Di antara kafilah-kafilah itu ada yang merasa hairan, apakah sebenarnya yang terjadi sampai ia dicari oleh beliau berdua.
Rombongan kafilah dari Yaman menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka. Suatu ketika, Uwais al-Qarni turut bersama rombongan kafilah menuju kota Madinah.
Melihat ada rombongan kafilah yang datang dari Yaman, segera khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W mendatangi mereka dan menanyakan apakah Uwais turut bersama mereka.
Rombongan itu mengatakan bahawa ia ada bersama mereka dan sedang menjaga unta-unta mereka di perbatasan kota. Mendengar jawapan itu, beliau berdua bergegas pergi menemui Uwais al-Qarni.
Sesampainya di khemah tempat Uwais berada, Khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W memberi salam. Namun rupanya Uwais sedang melaksanakan solat. Setelah mengakhiri solatnya, Uwais menjawab salam kedua tamu agung tersebut sambil bersalaman.
Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar segera membalikkan tangan Uwais, untuk
membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak tangan Uwais,
sebagaimana pernah disabdakan oleh baginda Nabi S.A.W.

Memang benar! Dia penghuni langit. Dan ditanya Uwais oleh kedua tamu tersebut,
"Siapakah nama saudara?"
"Abdullah." Jawab Uwais.
Mendengar jawapan itu, kedua sahabat pun tertawa dan mengatakan,
"Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?"
Uwais kemudian berkata "Nama saya Uwais al-Qarni."
Dalam pembicaraan mereka, diketahuilah bahwa ibu Uwais telah meninggal dunia.
Itulah sebabnya, dia baru dapat turut bersama rombongan kafilah dagang saat itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan sayyidina Ali K.W. memohon agar Uwais berkenan mendoakan untuk mereka.

Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah,
"Sayalah yang harus meminta doa daripada kalian."
Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata,
"Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar daripada anda."
Karena desakan kedua sahabat ini, Uwais al-Qarni akhirnya mengangkat kedua tangannya, berdoa dan membacakan istighfar.
Setelah itu Khalifah Umar R.A berjanji untuk menyumbangkan wang negara daripada Baitulmal kepada Uwais, untuk jaminan hidupnya. Segera sahaja Uwais menolak dengan halus dengan berkata,
"Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi."
Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam dan tidak terdengar beritanya.
Namun, ada seorang lelaki pernah bertemu dan dibantu oleh Uwais. Ketika itu kami berada di atas kapal menuju ke tanah Arab bersama para pedagang. Tanpa disangka-sangka angin taufan berhembus dengan kencang.
Akibatnya, hempasan ombak menghentam kapal kami sehingga air laut masuk ke dalam kapal dan menyebabkan kapal semakin berat. Pada saat itu, kami melihat seorang laki-laki yang mengenakan selimut berbulu di pojok kapal yang kami tumpangi, lalu kami memanggilnya.
Lelaki itu keluar daripada kapal dan melakukan solat di atas air. Betapa terkejutnya kami melihat kejadian itu.
"Wahai waliyullah, tolonglah kami!" Namun, lelaki itu tidak menoleh. Lalu kami berseru lagi,
"Demi Zat yang telah memberimu kekuatan beribadah, tolonglah kami!"
Lelaki itu menoleh kepada kami dan berkata,
"Apa yang terjadi?"
"Tidakkah engkau melihat bahawa kapal dihembus angin dan dihentam ombak?" Tanya kami.
"Dekatkanlah diri kalian pada Allah!" Katanya.
"Kami telah melakukannya."
"Keluarlah kalian daripada kapal dengan membaca Bismillahirrahmaanirrahiim!"
Kami pun keluar daripada kapal satu persatu dan berkumpul. Pada saat itu jumlah kami lima ratus lebih. Sungguh ajaib, kami semua tidak tenggelam, sedangkan perahu kami serta isinya tenggelam ke dasar laut.
Lalu orang itu berkata pada kami,
"Tidak apalah harta kalian menjadi korban, asalkan kalian semua selamat."
"Demi Allah, kami ingin tahu, siapakah nama Tuan?" Tanya kami.
"Uwais al-Qorni." Jawabnya dengan singkat.
Kemudian kami berkata lagi kepadanya,
"Sesungguhnya harta yang ada di kapal tersebut adalah milik orang-orang fakir di Madinah yang dikirim oleh orang Mesir."
"Jika Allah mengembalikan harta kalian. Apakah kalian akan membahagi-bahagikannya kepada orang-orang fakir di Madinah?" Tanyanya.
"Ya!" Jawab kami.
Orang itu pun melaksanakan solat dua rakaat di atas air, lalu berdoa. Setelah Uwais al-Qarni mengucap salam, tiba-tiba kapal itu muncul ke permukaan air, lalu kami menumpanginya dan meneruskan perjalanan. Setibanya di Madinah, kami membahagi-bahagikan seluruh harta kepada orang-orang fakir di Madinah, tiada satu pun yang tertinggal.
Beberapa waktu kemudian, tersiar khabar Uwais al-Qarni telah pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah banyak orang yang berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafan, di sana sudah ada orang-orang yang menunggu untuk mengkafankannya.
Demikian juga ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa banyaknya orang yang berebutan untuk mengusungnya.
Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan,
"Ketika aku ikut menguruskan jenazahnya hingga aku pulang daripada menghantarkan jenazahnya, lalu aku ingin untuk kembali ke kubur tersebut untuk memberi tanda pada kuburnya, akan tetapi sudah tak terlihat ada bekas di kuburnya."
(Syeikh Abdullah bin Salamah adalah orang yang pernah ikut berperang bersama Uwais al-Qarni pada masa pemerintahan sayyidina Umar R.A.)
Pemergian Uwais al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian banyaknya orang yang tidak kenal datang untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang.
Sejak dia dimandikan hingga jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih dahulu. Penduduk kota Yaman tercengang.
Mereka saling bertanya-tanya "Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni? Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa? Kerjanya hanyalah sebagai penggembala?"
"Namun, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenali. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya."
Agaknya mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamannya. Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahuinya siapa Uwais al-Qarni.
"Dialah Uwais al-Qarni, tidak terkenal di bumi tapi sangat terkenal di langit."

July 09, 2012

"KENAPA DOA SAYA TIDAK MAKBUL?"

1. Lalai ketika berdoa.

2. Tidak bersungguh-sungguh berdoa. "Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin pasti diperkenankan. Ketahuilah Allah tidak akan memakbulkan doa dari hati yang lalai serta tidak sungguh-sungguh."-riwayat al-Tirmizi.

3.Kurang yakin doa akan dimakbulkan-Nya.

4. Tidak berselawat. "setiap doa itu terhalang sehinggalah diucapkan selawat ke atas Nabi s.a.w."-riwayat al-Dailami.

5. Perbelanjaan hidup daripada sumber yang haram. "Ada seorang musafir dalam perjalanan yang memeritkan. Rambutnya kusut-masai lagi berdebu. Dia menadah tangan ke langit (berdoa penuh pasrah) " Wahai Tuhanku.. Wahai Tuhanku.." (orang dalam kesulitan sepatutnya lebih makbul doanya). " Sedangkan makanan, minuman, pakaian dan perbelanjaannya semua daripada sumber haram. Bagaimana doanya itu hendak dimakbulkan?"-riwayat Muslim.

6. Cepat berputus asa.

7. Melakukan syirik.

8. Tidak merendahkan diri ketika berdoa. Seperti berdoa dengan suara yang lantang dan nyaring.

9. Kurang beradab ketika berdoa.

10.  Memutuskan silahturahim

July 08, 2012

Jangan Takut Pada Manusia-Lebih Dekat Dengan ALLAH.

Nabi S.A.W. bersabda: " Sesungguhnya orang yang paling bertakwa dan paling tahu tentang Allah di antara kamu, ialah aku (Rasulullah S.A.W)".

* Rasulullah yang paling takut dengan ALLAH.
* Rasulullah yang paling dekat dengan ALLAH.
* Rasulullah yang paling bertakwa dengan ALLAH.
 Tiada siapa yang boleh fight ketakutan dan ketakwaan Rasulullah. Oleh itu jangan kita membuat sesuatu yang lebih daripada Rasulullah.

Ibnu Mardawih dengan sanadnya daripada Bilal Bin Rabah r.a. berkata:
" Sebelum sembahyang subuh saya pernah memanggil Rasulullah S.A.W. untuk melaksanakan sembahyang. Tiba-tiba Rasulullah menangis. Maka Bilal bertanya. " Ya, Rasulullah apakah gerangan yang membuatkan engkau menangis? Maka Nabi S.A.W. menjawab: "Wahai Bilal, telah di turunkan kepada saya beberapa ayat dari Allah. Celakalah orang yang membacanya, tetapi tidak merenungkannya. Iaitu firman Allah didalam surah Al-Imran ayat 190 hingga ayat 191.
(sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal).
(Iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi. "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka".

Surah di atas menceritakan tentang kekuasaan Allah. Sesungguhnya pada segala penciptaan langit dan bumi, perselisihan malam dan siang adalah tanda-tanda orang yang berakal. Berakal maksudnya yang mengkaji. Orang yang tidak ada akal bukan tengok sesuatu benda itu dengan ilmu. Contohnya, bila berlaku hujan panas dia kata ni mesti ada orang nak mati ni.

Apa itu Takwa?
Saidina Umar bertanya kepada seorang sahabat nabi berkenaan dengan takwa. Sahabat nabi menjawab. " Pernahkah kamu melalui satu jalan yang licin yang penuh dengan duri"? Lalu Saidina Umar menjawab. " Ya. Saya pernah melaluinya". Lantas, ketika kamu melalui jalan yang licin itu yang penuh dengan duri apa yang kamu buat? Kata Umar, saya berhati-hati memijaknya supaya saya tidak jatuh dan supaya saya tidak memijak duri. Kata sahabat nabi tadi, "itulah yang dimaksudkan dengan takwa". Berhati-hati ketika melangkah, bercakap, melihat, mendengar dan membuat apa jua tindakan.

Ada segelintir dari kalangan kita apa yang dia dengar terus dia cakap kat orang lain. Itu bukan takwa namanya. Bila dengar sumber itu, dia mesti tanya kamu dapat fakta tu dari mana? Sekadar mendengar itu bukan takwa. Bila orang mempertikaikan apa yang dia cakap, dia kata saya tak tahu ni orang yang cakap pada saya. Dia juga tidak bertanggungjawab dengan apa yang dia cakap.
Ulama-ulama berkata, tidaklah orang itu di kira baik apa yang dia dengar dia percaya, apa yang dia dengar dia sampaikan pada orang lain. Orang itu bukan orang baik. Bukan semua benda yang kita tahu kita kena cakap pada orang. Bukan semua benda yang kita lihat, kita kena cakap pada orang.
Ada yang kita boleh cakap, ada benda yang kita kena simpan. Ada benda yang kita boleh bagi tahu, ada benda yang kita kena sorok. Ini dipanggil takwa di dalam kata-kata.

Jangan hanya menjadi orang baik ketika ramai orang. Bila duduk seorang diri jahat. Begitu juga dengan lidah kita, tangan dan yang sewaktu dengannya jangan buat benda yang tidak sepatutnya. Sebab itu orang yang bertakwa, langkahnya, bercakapnya berhati-hati. Jangan sampai melanggar perintah Allah S.W.T..Maka apabila kita buat, maka Allah akan pelihara kita dari api neraka.
Diriwayatkan daripada Imam Ahli Sunah Wal Jamaah: Imam Ahmad bin Hambal; Apabila dia duduk bersendirian diatas singgahsananya dia akan duduk dengan penuh kekhusyukan dan ketenangan. Tetapi apabila dia berada di tengah-tengah manusia, kekhusyukannya itu tidak nampak pada dirinya.Dia pernah ditanya mengapa dia sedemikian. Katanya, "sesungguhnya, bersama saya ada orang yang Maha pengawas yang sentiasa memerhati saya ketika duduk bersendirian.
Imam Ahmad bin Hambal bila solat ramai-ramai, dia solat biasa sahaja. Tetapi bila dia duduk berseorangan dia solat sorang-sorang lagi dia buat lebih elok dan sungguh-sungguh. Orang tanya kepadanya. "Tuan bila tuan datang ke masjid kami tengok tuan solat biasa saja. Tak lah panjang, duduk tak lah lama sangat solatnya. Kenapa balik ke rumah, kami tengok tuan lebihkan pula. Kata imam Hambali,"sebab bila aku duduk ramai-ramai Allah tengok aku dalam keadaan ramai-ramai. Tetapi apabila aku solat sorang-sorang, Allah hanya tengok aku seorang. Lagi aku kena jaga elok-elok depan Tuhan. Sebab sekarang Allah hanya tengok aku seorang sahaja".
Kita pula lain, bila datang masjid pakai lawa-lawa sebab orang ramai. Duduk elok-elok sebab orang ramai. Tapi bila balik rumah, solat pun tak pakai lawa-lawa, tak pakai wangi-wangi. Sebab kita duduk seorang siapa yang nampak, aku seorang saja katanya. Orang yang bertakwa duduk seorangan lagi dia jaga di hadapan Allah, sebab Allah hanya perhatikan kita seorang.

Hadis kudsi:
"Sesiapa yang ingat kepada Aku berseorangan maka Aku akan ingat kepadanya. Tetapi sesiapa yang sebut nama Aku dalam jumlah yang ramai, namanya juga Allah akan sebut kepada kelompok para malaikat yang lebih ramai daripada kita".

Nabi S.A.W. sebut tiga (3) benda iaitu:
1. Orang yang paling jihad, ialah orang yang menjaga amalan fardu yang telah difardukan oleh Allah kepadanya.
2. Orang yang paling berhijrah ialah orang yang meninggalkan perbuatan maksiat dengan sungguh-sungguh.
3. Orang yang paling Allah suka berjumpa pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berzikir kepadaNYA.

Takut hanya pada ALLAH. Buat apa nak takut pada manusia? Manusia akan mati. Cakaplah yang benar. Kalau kita cakap yang benar, Allah yang akan tolong kita. Itu prinsip yang kita kena ada ye :)
Tapi teguran itu perlulah yang betul yang memang ada pada orang tu. Cakaplah yang benar walaupun pahit untuk orang lain mendengarnya. Manusia adalah sama sahaja, yang membezakannya hanya ketakwaan takut pada Allah. Sikit pun haram, banyak pun haram. Itu orang bertakwa.

Surah Al-Bayyinah ayat lima (5):
"Padahal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas mentaatiNYA semata-mata kerana agama, dan juga agar melaksanakan solat, menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus".

1. Bersih daripada pengaruh riak iaitu suka dilihat orang apa yang dibuatnya.
2. Bersihkan ibadat kita dari sum'ah iaitu ingin didengar oleh orang lain.
3. Niat yang lain iaitu bukan kerana ALLAH.

Bila kita dapat nikmat dari Allah ucapkanlah "Masha Allah, La Haulala Wallah Ku Wataillah billah".
Bercakaplah benda yang lebih kita tahu maka itu lebih dekat dengan takwa. Kita mengharapkan hasil tetapi kita berbuat jahat dengan orang lain. Berbaiklah dengan orang walaupun orang tak ambil kita, Allah akan ambil kita. Itulah namanya IKHLAS.
Allah sebaik-baik pembela. Salah kata salah. Betul kata betul. Jangan kita menafi dan menidakkan atau mereka-reka yang salah kita kata betul, yang betul kita kata salah. Jangan bagi jawapan berdasarkan sentimen kita. Tetapi bagilah jawapan yang bersandar dengan Quran dan Hadis. Bukan dengan jawapan apa yang kita suka.

Orang yang ikhlas akan dapat tiga (3) benda:
1. Dia membawa kepada jalan yang benar dan lurus.
2. Makmur hidupnya dan rezekinya melimpah ruah.
3. Terbuka pintu kepadanya iaitu Allah akan memudahkan segala urusannya.

Jadi nak dapatkan tiga benda yang kat atas tu kenalah ikhlas-ikhlaskan diri kita. InsyaALLAH, bantuan Allah akan sampai dengan jalan yang kita tidak duga dan sangka-sangkakan.
Akhir kata, saya mohon maaf jika ada terkasar bahasa dan jika penulisan di atas ada salah silapnya mohon ye sahabat-sahabat perbetulkan. :D

July 02, 2012

Jangan mengeluh. Berdoalah...

Assalamualaikum w.b.t kepada sahabat sekalian. Semester baru telah pun bermula dan keputusan peperiksaan pun telah dikeluarkan. Saya mendoakan kalian semua mendapat yang terbaik daripada sebelumnya. Namun, jika kita tidak dapat yang kita inginkan jangan mengeluh, jangan bersedih dan jangan sekali-kali berputus asa ye :) sebab apa yang kita usahakan itulah hasil yang kita tuai. Jangan sekali pun menyalahkan takdir kerana itu umpamanya kita menyalahkan ALLAH sebab Dia yang mengatur segalanya kan :D.

Saya baru sahaja mendengar ceramah ustaz Kazim Elias yang bertajuk "Jangan Mengeluh, Berdoalah". Setiap hamba Allah yang ada di muka bumi ini semuanya di berikan musibah cuma musibah itu berbeza diantara saya dan sahabat semua. Allah memberikan musibah kepada kita kerana Dia rindukan rintihan kita, dia sayangkan kita, dan dia meninggikan darjat kita. Jadi apabila di timpa musibah jangan mengeluh tapi, katakan ya Allah saya bersyukur kerana Engkau berikan musibah kepada saya sedangkan ramai lagi diluar sana dibiarkan lalai.

Sebenarnya jika kita lihat AQ surah Asy-Syura ayat 30, " Dan musibah apa pun yang menimpa kamu adalah kerana perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (dari kesalahan-kesalahanmu). Sungguh Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Jadi bila di timpa musibah jangan menyalahkan Allah tetapi salahkan diri sendiri, sebab itu adalah balasan yang Allah bagi kepada kita semua atas perbuatan yang kita sendiri lakukan. Point penting yang sempat saya catit ialah, lima jenis musibah yang dikatakan oleh Imam Al-Ghazali dan juga bagaimana untuk menghadapi musibah tersebut.

Lima (5) jenis musibah :

1. Ditimpa musibah ketika bermusafir

2. Diberikan kepada kita buta, asalnya kita tidak buta.

3. Miskin di hari tua.

4. Mati dalam keadaan muda.

5. Asalnya mulia dan kesudahannya dihina.


Bagaimana untuk menhadapi musibah?

1. Mengadu kepada Allah dan minta kepada Allah.

2. Redha.Ingatkan diri kita bahawa ada orang lain yang ditimpa musibah lebih teruk daripada kita.

3. Hikmah disebalik ujia yang Allah ciptakan.

4. Yakin dengan Allah. Kalau kita jaga Allah, Allah akan jaga kita.

5. Jangan mengeluh dan mintalah dengan jalannya iaitu solat di sepertiga malam.

Saya juga ingin berkongsi doa yang amat disukai oleh Nabi Muhammad S.A.W ketika ditimpa dengan kesusahan iaitu:

" Wahai Tuhanku yang tiada siapa pun dapat menghalang akan segala sesuatu yang Engkau berikan, dan tiada sesuatu pun yang dapat memberikan segala yang Engkau halangi. Tidak berguna kegigihan orang yang berusaha jika tiada keizinan dan taufik daripada-Mu".

Semoga perkongsian yang tidak seberapa ini dapat memberikan kita iktibar dan sama-sama lah kita berusaha ke arahnya. Jika saya tersalah minta dibetulkan :D

May 25, 2012

Antara Dosa dan Pahala




Dalam kehidupan ini, kita memang tidak lepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Orang yang terpelihara dari kesalahan, dari dosa hanyalah para Nabi dan Rasul.

Kita, sebagai manusia biasa, akan sentiasa ada salah dan silap.

Tidak ada yang maksum. Hatta seorang syeikh, seorang wali, seorang sayyid, seorang ulama’, seorang habib, seorang perdana menteri, semuanya tetap ada kesalahan yang pernah dilakukan dalam kehidupan masing-masing.

Syurga itu pun nanti akan dimasuki oleh orang-orang yang tidak maksum. Yang bakal memasukinya adalah orang-orang yang sepanjang kehidupannya pernah melakukan dosa dan kesilapan.

Orang-orang yang merasakan dirinya bersih daripada dosa sepanjang hidupnya dan maksum selain Nabi dan Rasul, maka dia tidak perlu lagi kepada syurga.

Kerana sejak di dunia lagi, dia tidak ada dosa. Untuk apa lagi syurga baginya?

KITA, KAU DAN AKU SEMUANYA PUNYA SALAH

Semua orang punya kesalahan masing-masing. Ada dosanya masing-masing. Bezanya hanyalah pada level berbuat dosa.

Ada orang mungkin berbuat dosa kerana kejahilannya. Ada orang berbuat dosa dalam keadaan sudah mengetahui dan menyedarinya.

Contoh yang mudah, level seorang ulama’ yang berzina dengan seorang rakyat jalanan yang berzina, sudah pastinya tidak sama, bukan?

Seorang ulama’ dalam keadaan dia sudah mengetahui hukum hakam, mengetahui halal dan haram, sudah tentulah sesuatu yang berat jika dia terlibat dalam dosa-dosa besar yang dia sendiri sudah mengetahuinya.

Seorang rakyat jalanan, yang barangkali Allah pun tidak pernah dikenalinya, maka dosa zina yang dilakukannya itu walaupun berat, tetapi sebenarnya tidak sama berat dengan dosa zina yang dilakukan oleh ulama’ yang lebih mengetahui daripada dirinya tadi.

Maka, tidak padanlah kalau kita menghukum semua orang dengan amal yang kita nampak secara zahir itu saja. Kita tidak pernah tahu keadaan hatinya bagaimana.

Barangkali, dia inginkan kepada kebenaran. Cuma tidak ada yang menunjuk dan membimbingnya menyebabkan dia jauh daripada kebenaran dan terjatuh dalam dosa.

BEZAKAN ANTARA SALAH DAN PESALAH

Salah dan pesalah. Bezakan keduanya. Yang salah adalah perbuatan. Pesalah pula adalah orangnya.

Kadang-kadang, saya sangat risau melihat orang begitu mudah menghukum orang yang melakukan dosa ataupun orang yang terjebak dengan dosa dengan hukum neraka.

‘Tak buat ini, dosa !’
‘Tak buat itu, masuk neraka !’
‘Kenapa kau buat benda tu, hah? Kau nak masuk neraka ke?’

Sewaktu kelas Madkhal Ila Dakwah saya, pensyarah saya, Doktor Adnan Khutotobah telah menceritakan kisah dua orang Bani Israil yang bersaudara. Salah seorangnya orang yang rajin beribadah, salah seorangnya lagi pula orang yang selalu berfoya-foya dan rajin bermaksiat.

Suatu hari, orang yang rajin beribadah ini pergi kepada saudaranya yang bermaksiat itu. Maka ditanya saudaranya itu, “Kenapa kau lakukan maksiat ni, hah? Kau nak masuk neraka ke?”

Jawab saudaranya itu, “Kau tahu mana aku akan masuk neraka?”

Maka dibalas kembali orang itu tadi, “Allah tidak akan memasukkan kamu ke dalam syurga dan akan memasukkan kamu ke dalam neraka kerana maksiat kamu itu.”

Di hari perhitungan, Allah telah campakkan orang yang rajin beribadah itu ke dalam neraka. Saudaranya yang rajin berfoya-foya itu pula Allah masukkan ke dalam syurga.

Kenapa?

Bukankah orang yang rajin beribadah itu selalu taat kepada Allah?

Ya, tetapi dia tidak menunjukkan sifat rahmah Allah kepada temannya yang telah melakukan kesalahan itu. Hukuman yang dia telah katakan pada temannya itu boleh mengakibatkan temannya itu bergerak lebih jauh daripada kebenaran, menyebabkan Allah campakkannya ke dalam neraka walaupun dia seorang yang rajin beribadah.

Kita perlu belajar membezakan antara salah dan pesalah. Memang yang melakukan perbuatan salah itu adalah manusia. Tetapi manusia tetap adalah manusia.

Selagi belum tertutup pintu taubat, selagi belum kiamat, maka dia masih tetap punya hak untuk memperbaiki dirinya dan memperbetulkan kesalahannya. Tidak layak untuk kita menghukum syurga atau neraka pada dirinya, kerana semua itu hanya di bawah pengetahuan Allah. Maka, bagaimana mungkin sesuatu perkara yang ghaib seperti itu kita pula yang boleh tentukan?

Dia adalah manusia. Kita juga adalah manusia.

Dia ada kesilapannya. Kita juga ada kesilapan kita. Sealim atau sehebat manapun ilmu kita, kita tetap tidak layak untuk menghukum orang yang berdosa itu ‘confirm-confirm’ masuk neraka.

Hari ini, mungkin dia berdosa. Hari esok, siapa yang tahu kalau-kalau dia pula yang jadi lebih baik dari kita?

Maka, kalau hendak ditegur dan dikritik, tegur dan kritiklah pada kesalahan yang dilakukannya. Bukan pada pelakunya. Teguran dan kritikan kita mestilah bertujuan untuk memperbetulkan kesalahannya, bukanlah dengan niat menjatuhkan peribadi dan mendedahkan aibnya pula.

Kita tidak pernah tahu balasan yang akan menimpa diri kita di hari muka. Barangkali, di hari muka kita menjadi lebih teruk daripada dia.

Siapakah yang dapat menjangka?

PENUTUP : MAKA, BELAJARLAH BERLAPANG DADA

Antara masalah segelintir orang-orang yang mempelajari teks-teks agama, adalah memahaminya hanya secara literal. Kemudian, dengan senang menghukum manusia dengan perasaan.

Tanpa mempertimbangkan kematangan dan logik akal, dengan mudahnya sebahagian orang menghukum orang yang berdosa ‘confirm-confirm’ masuk neraka.

Barangkali dia tidak sedar dirinya juga ada berdosa. Manusia selain Nabi dan Rasul semuanya tidak maksum. Kalaulah semua manusia yang tidak maksum pernah melakukan dosa akan dimasukkan ke neraka, maka tidak ada manusia yang akan masuk syurga kecuali hanya Nabi dan Rasul termasuklah dia juga akan dicampak ke neraka.

Bersederhana dan berlapang dadalah.

Barangkali orang itu berbuat dosa dalam keadaan jahilnya dia ataupun dalam keadaan terlupanya dia, maka kita tidak ada hak untuk menghukumnya selain hanya mengingatkan dan memperbetulkan kesalahannya.

Lagipun, syurga dan neraka bukanlah di bawah kekuasaan kita. Bukan tangan-tangan kita yang akan menyampaikan manusia di dalamnya. Itu adalah kerja Allah, dan Allah tahu dan tidak pernah silap dalam memberi hukuman kepada manusia.

Kita tinggalkan saja kerja-kerja menghukum kepada Allah, dan kita lakukan kerja yang sepatutnya kita lakukan.

Antara salah dan pesalah,
Masih tetap ada ruang untuk mereka tetap kembali kepada Allah,
Yang penting, kita teruskanlah memberi peringatan dan berdakwah !

April 12, 2012

Buat Sesuatu Biarlah Ikhlas kerana ALLAH

Semoga kita dijauhkan perasaan sebegini..Nauzubillah..


1.  Bukan Menunjuk-nunjuk

daripada Abu Umamah al-Bahili r.a. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Bersedekah secara sembunyi 'memadam' kemarahan Tuhan."

Pengajaran daripada hadis diatas ialah:
Tiada keperluan bagi sesiapa untuk mengeluarkan sedekah secara terang-terangan kerana bersedekah yang dihebohkan akan melahirkan perasaan riyak dan penyakit hati yang lain.

2. Buruknya Takabbur

daripada Abdullah bin Mas'ud r.a.,Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
" Tidak masuk ke syurga orang yang terdapat di hatinya walau  sebesar zarah perasaan takabbur."(Riwayat Muslim) 

Pengajaran daripada hadis di atas: 
Jauhi penyakit hati yang besar; ujub, takabbur dan riyak kerana ia bukan sikap seorang Muslim sejati.



April 08, 2012

INI BUKAN URUSAN AKU...

 
Senario A
Aku tak kisah apa nak jadi pada negara ni. Yang penting aku dan keluarga aku boleh hidup selesa. Aku tak nak menyusahkan orang lain dan tak nak menyebabkan orang lain susah disebabkan aku.
Senario B
Lantak lah dengan apa yang berlaku di kampus ni. Yang penting biasiswa aku masuk ‘on-time’, aku siap semua assignment dan lulus semua peperiksaan yang melibatkan ijazah yang aku cita-citakan selama ini.
Senario C
Apa kau susah, mereka bukan anak kau. Biarkan sajalah kalau budak-budak ni nak ber’couple’ atau berkawan sesama mereka. Lagi pun mereka dah besar. Kalau pun bunting nanti, pandai-pandailah mereka pergi ke mana-mana klinik untuk gugurkan kandungan atau cari tempat bersalin nanti.
Senario D
Isu Palestin biar orang Palestin selesaikan dengan Israel, isu Syria biar mereka orang Syria urus dengan pemerintah mereka sendiri, isu Pattani biar mereka bincang dengan kerajaan Thailand, kerajaan mereka sendiri. Kita tak perlu sibuk urusan orang lain sebab kita kena jaga anak bini kita dulu.
Sikap Peduli
Sikap peduli adalah sikap ambil tahu dan peka terhadap sesuatu yang berlaku serta memberi tindak-balas terhadap pelbagai hal yang berlaku di sekeliling kita. Rasa peduli, ambil berat atau ‘caring’ adalah elemen yang sangat penting dalam kehidupan kerana ia mengajar kita untuk hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.
Mengambil peduli atau mengetahui masalah secara positif akan menggalakkan seseorang dan masyarakat menjadi prihatin terhadap keperluan ahli komuniti mereka dengan berusaha bantu membantu menyelesaikan atau mengurangkan bebanan mereka.
Rasa peduli ini tentunya dalam batas pengamatan yang mendalam dan keinsafan yang tinggi bahawa setiap kita memerlukan sokongan, bantuan dan perhatian apabila berada di dalam situasi tertentu. Sekiranya sebahagian daripada kita mengalami kesusahan, keperitan dan bencana, tentunya kita memerlukan bantuan atau pertolongan daripada orang lain.
Sekiranya rasa ambil peduli ini subur pada setiap masyarakat kita, ia akan memupuk rasa persaudaraan sesama Islam dan bersifat kemanusiaan sesama mausia tanpa mengira asal keturunan, agama dan bangsa.
Malangnya apa yang berlaku pada masyarakat kita hari ini adalah kerana masing-masing bersikap tidak ambil peduli dengan masalah dan isu-isu yang berlaku di persekitarannya. Contohnya ialah permasalahan kehamilan di kalangan remaja, peningkatan kes jenayah, kes murtad, kes dadah dan rogol yang semakin banyak, amalan rasuah yang subur membiak, kecelaruan identiti di kalangan anak bangsa dan seribu satu macam masalah yang lain.
Jika sikap tak kisah dan tidak ambil peduli terus diamalkan oleh masyarakat kita, bayangkanlah apa yang bakal berlaku terhadap institusi kekeluargaan, budaya kemasyarakatan, kehidupan bernegara dan masa depan umat secara keseluruhannya.
Sikap ambil peduli adalah sikap yang sangat penting untuk disuburkan dan diamalkan di setiap lapisan masyarakat. Seseorang yang sudah dibiasakan dengan sikap ambil peduli atau ‘caring’ akan mencetuskan pembinaan masyarakat yang berkasih-sayang dan tolong menolong ke arah kebaikan bersama. Ingatlah pesanan Allah swt seperti firmanNya yang bermaksud,
“Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara dosa dan permusuhan”.
Surah al-Maidah ayat 2
Inilah yang menjadikan indahnya kehidupan dan semua ini hanya akan berlaku jika ada sikap saling ambil peduli dan prihatin di kalangan kita. Dalam Islam, perkara-perkara ini memang ditekankan kerana Islam itu sendiri adalah ajaran kemasyarakatan. Islam menekankan perlunya sikap ambil peduli bermula dari sesama ahli keluarga, kaum kerabat, semangat kejiranan dan hidup bermasyarakat, kehidupan bernegara sehinggalah kepada kepedulian umat sejagat.
Ingatlah bahawa mengambil tahu dan mempunyai kepedulian terhadap orang lain adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama islam yang luhur ini sebagaimana sabdaan Rasulullah saw yang bermaksud,
“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”
Rasulullah saw juga telah bersabda yang bermaksud,
“Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia lainnya.
(Hadith riwayat Bukhary)

April 07, 2012

Di Simpang Jalan...

Buku ni memang best..Banyak semangat yang kita boleh cedok..Kita mempunyai semangat utk menyampaikan dakwah tapi kadang2 ada insan yang baru sedikit melangkah dah kata penat, susah dan 1001 alasan yang sememangnya tak akan pernah ada penghujungnya..Watak dalam buku ni yang diberi nama Jamri tak pernah luntur semangatnya untuk mengajar agama walaupun dia tahu ada peperangan yang akan datang memusnahkan kampungnya..Semangat itu yang kita perlukan dalam memberikan dan menyebarkan ilmu..

February 10, 2012

Sukar untuk menjaga hati semua orang???

Hidup tak selalunya indah sentiasa..Mesti ada ujian yang Allah bagi kepada semua orang.. Semua orang mempunyai hati, tapi pernah tak kita terfikir ada apa dengan hati sebenarnya???
Hati adalah segalanya bagi kita..Semua anggota badan penting tapi yang lebih penting adalah HATI..Jika hati kita kotor maka akan kotorlah segalanya yang ada.
Selalunya bila kita marah kita nak je kan cakap segalanya yang terbuku kat hati kita kepada orang yang kita marah agar dia tahu perasaan kita itu bagaimana kan.
Bila fikir balik kita ini ada Allah,jadi marah kita tiba-tiba padam begitu saja. Sukar untuk meluahkan kata-kata walaupun kita tahu kata-kata itu lebih tajam dari mata pena.
Tapi bagaimana kalau kata-kata yang kita nak cakap kat orang itu akan membawa perubahan kepada dia?
Jadi kita tak perlu fikir perasaan orang macam 2 ke maksudnya?
Bukan..bukan itu maksudku. Kita boleh saja bercakap untuk luahkan ketidakpuasan hati kita kepada mereka yang, kita terasa tetapi biarlah cara itu berhikmah dan tidak memalukan dia di hadapan orang atau kawan-kawan kita. Saya menulis kerana pengalaman yang pernah saya lalui. Jadi bagi yang pernah dilukai atau terluka jangan marah atau sumpah seranah orang itu, sebab saya percaya dia pun masih belajar untuk meghormati orang lain dan belajar berkomunikasi.

January 24, 2012

Sekiranya saya tidak menyukai seseorang, saya perlu mengenalinya dengan lebih baik..

Hari itu hari pertama selepas saya memilih berhenti mengajar di dalam bilik darjah dan menjadi seorang koordinator kebajikan pelajar sekolah menengah. Saya bertanya kepada seorang wanita yang sudah bersara dari jawatan itu, bagaimana beliau dapat bertahan bekerja dengan pengetua yang berfikiran sempit dan bersikap negatif kepada guru-gurunya.
Jawapan beliau begiu indah dan positif sehingga saya terdorong menghayatinya serta-merta. Ia menyelamatkan saya daripada menghabiskan masa berasa kecewa atau berdendam, dan sejak itu menjadi penyelesaian kepada kebanyakan konflik dalam kehidupan saya.
Jawapan beliau mudah sahaja, "Saya mendoakan dia. Sukar untuk kita tidak suka kepada orang yang kita doakan."

Panduan Bagaimana Menjalani Kehidupan Kamu dengan Lebih Baik..

* Adakah kamu sedang menjalani kehidupan yang kamu mahukan?


 * Apakah nikmat yang kamu terima hari ini ataupun minggu ini?


* Siapakah "Role Model" kamu? Pernakah kamu memberitahu individu itu?

* Bagaimanakah kamu dapat meraikan hari-hari yang biasa dan nampak membosankan?

* Apakah yang mampu membuatkan hidup kamu lebih bermakna?