Senario A
Aku tak kisah apa nak jadi pada negara ni. Yang penting aku dan
keluarga aku boleh hidup selesa. Aku tak nak menyusahkan orang lain dan
tak nak menyebabkan orang lain susah disebabkan aku.
Senario B
Lantak lah dengan apa yang berlaku di kampus ni. Yang penting
biasiswa aku masuk ‘on-time’, aku siap semua assignment dan lulus semua
peperiksaan yang melibatkan ijazah yang aku cita-citakan selama ini.
Senario C
Apa kau susah, mereka bukan anak kau. Biarkan sajalah kalau
budak-budak ni nak ber’couple’ atau berkawan sesama mereka. Lagi pun
mereka dah besar. Kalau pun bunting nanti, pandai-pandailah mereka pergi
ke mana-mana klinik untuk gugurkan kandungan atau cari tempat bersalin
nanti.
Senario D
Isu Palestin biar orang Palestin selesaikan dengan Israel, isu Syria
biar mereka orang Syria urus dengan pemerintah mereka sendiri, isu
Pattani biar mereka bincang dengan kerajaan Thailand, kerajaan mereka
sendiri. Kita tak perlu sibuk urusan orang lain sebab kita kena jaga
anak bini kita dulu.
Sikap Peduli
Sikap peduli adalah sikap ambil tahu dan peka terhadap sesuatu yang
berlaku serta memberi tindak-balas terhadap pelbagai hal yang berlaku di
sekeliling kita. Rasa peduli, ambil berat atau ‘caring’ adalah elemen
yang sangat penting dalam kehidupan kerana ia mengajar kita untuk hidup
berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.
Mengambil peduli atau mengetahui masalah secara positif akan
menggalakkan seseorang dan masyarakat menjadi prihatin terhadap
keperluan ahli komuniti mereka dengan berusaha bantu membantu
menyelesaikan atau mengurangkan bebanan mereka.
Rasa peduli ini tentunya dalam batas pengamatan yang mendalam dan
keinsafan yang tinggi bahawa setiap kita memerlukan sokongan, bantuan
dan perhatian apabila berada di dalam situasi tertentu. Sekiranya
sebahagian daripada kita mengalami kesusahan, keperitan dan bencana,
tentunya kita memerlukan bantuan atau pertolongan daripada orang lain.
Sekiranya rasa ambil peduli ini subur pada setiap masyarakat kita, ia
akan memupuk rasa persaudaraan sesama Islam dan bersifat kemanusiaan
sesama mausia tanpa mengira asal keturunan, agama dan bangsa.
Malangnya apa yang berlaku pada masyarakat kita hari ini adalah
kerana masing-masing bersikap tidak ambil peduli dengan masalah dan
isu-isu yang berlaku di persekitarannya. Contohnya ialah permasalahan
kehamilan di kalangan remaja, peningkatan kes jenayah, kes murtad, kes
dadah dan rogol yang semakin banyak, amalan rasuah yang subur membiak,
kecelaruan identiti di kalangan anak bangsa dan seribu satu macam
masalah yang lain.
Jika sikap tak kisah dan tidak ambil peduli terus diamalkan oleh
masyarakat kita, bayangkanlah apa yang bakal berlaku terhadap institusi
kekeluargaan, budaya kemasyarakatan, kehidupan bernegara dan masa depan
umat secara keseluruhannya.
Sikap ambil peduli adalah sikap yang sangat penting untuk disuburkan
dan diamalkan di setiap lapisan masyarakat. Seseorang yang sudah
dibiasakan dengan sikap ambil peduli atau ‘caring’ akan mencetuskan
pembinaan masyarakat yang berkasih-sayang dan tolong menolong ke arah
kebaikan bersama. Ingatlah pesanan Allah swt seperti firmanNya yang
bermaksud,
“Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara
kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara
dosa dan permusuhan”.
Surah al-Maidah ayat 2
Inilah yang menjadikan indahnya kehidupan dan semua ini hanya akan
berlaku jika ada sikap saling ambil peduli dan prihatin di kalangan
kita. Dalam Islam, perkara-perkara ini memang ditekankan kerana Islam
itu sendiri adalah ajaran kemasyarakatan. Islam menekankan perlunya
sikap ambil peduli bermula dari sesama ahli keluarga, kaum kerabat,
semangat kejiranan dan hidup bermasyarakat, kehidupan bernegara
sehinggalah kepada kepedulian umat sejagat.
Ingatlah bahawa mengambil tahu dan mempunyai kepedulian terhadap
orang lain adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama islam yang
luhur ini sebagaimana sabdaan Rasulullah saw yang bermaksud,
“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”
Rasulullah saw juga telah bersabda yang bermaksud,
“Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia lainnya.
(Hadith riwayat Bukhary)